BEKORBAN DEMI AGAMA BANGSA DAN NEGARA

JADIKAN SUKAN SEBAGAI SUMBER REZEKI


Apa sahaja yang dilakukan kalau dibuat secara bersungguh-sungguh pasti akan cemerlang. Begitu juga dengan sukan malah bidang itu boleh menjadi salah satu saluran sumber pendapatan utama kalau di usahakan secara berterusan dan konsistan.


Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Ir. Shaari Haji Hassan berkata, kalau negara miskin yang mana rakyat mereka susah hendak makan dengan politik yang tidak menentu tetapi masih boleh berjaya di dalam sukan mereka, sehinggakan negara mereka terkenal di dunia , kenapa tidak negara kita yang aman dan makmur ini.


Keamanan yang dimiliki dengan kestabilan politik dan perpaduan kaum yang jitu memberikan peluang kepada individu untuk bersukan seterusnya menjadikan sukan sebagai sumber menyara keluarga masing-masing.


Sambungnya, seorang pemain bola sepak dibayar gaji bukan ribuan ringgit, malah jutaan ringgit. Begitu juga dengan pemain tenis, golf, badminton, tinju dan sebagainya. Semua itu akan berhasil kalau dilakukan secara sistematik.


Jelasnya kalau seseorang itu hendak menjadi pemain bola sepak yang terkenal, berusahalah untuk jadi terkenal bukan sahaja di peringkat negeri, malah negara dan dunia. Kalau hendak menjadi pemain golf, biarlah cita-cita itu bukan sekadar melepaskan batuk ditangga. Kalau hendak jadikan sukan lumba motorsikal sebagai sumber rezeki, biarlah mengukir nama di arena dunia, bukan menjadi Mat Rempit yang tersohor di kampung sendiri.


Justeru beliau menyeru kepada mereka yang mahu jadikan sukan sebagai sumber rezeki supaya merebut peluang tersebut. Mengulas mengenai kejayaan pemanah remaja yang menyertai pertandingan memanah remaja ASIA di Singapura baru-baru ini, beliau melahirkan rasa bangga dengan kejayaan itu.


“Ini satu contoh baik yang perlu diberikan perhatian umum. Parlimen Tanah Merah mengucapkan syabas dan tahniah kepada pemanah berbakat itu. Kita akan pantau perkembangan ini. Justeru bakat yang telah cemerlang ini akan dipupuk untuk terus gemilang hingga ke persada dunia,” ujarnya


Kepada remaja atau belia, beliau menyeru supaya aktifkan diri dalam sukan dan berharap satu masa nanti akan muncul atlet hebat dunia dari Tanah Merah ini.