BEKORBAN DEMI AGAMA BANGSA DAN NEGARA

JANGAN ABAIKAN PELAJARAN


Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Ir. Shaari Haji Hassan mengingatkan setiap pelajar di jajahan ini supaya jangan abaikan pelajaran dan terus berusaha untuk mendapatkan ilmu sebanyak mungkin dalam usaha mengisi pelan induk pembangunan pendidikan iaitu membangunkan modal insan.

Katanya, ilmu pelajaran tetap penting dalam hidup seseorang. Negara mengalami kerugian dan segala perancangan Kerajaan akan gagal sekiranya rakyat tidak berilmu. Tanpa ilmu sesebuah negara, daerah dan kampung itu tidak akan dapat dimajukan secara tersusun dan terancang lalu secara tidak langsung, kawasan atau daerah itu sentiasa terpinggir oleh arus pembangunan negara.

Justeru kerana kepentingan ilmulah daerah Tanah Merah dalam jangka masa terdekat ini bakal memilki beberapa buah pusat pengajian tinggi seperti Maktab Rendah Sains Mara {MRSM}, Institut kemahiran Belia Negara {IKBN} dan beberapa buah lagi bangunan pusat ilmuan berstatus elit yang kini berada di peringat pertimbangan Kementerian.

Menurut beliau, pelajaran itu sebenarnya benih kemajuan. Oleh itu setiap pelajar wajib memiliki benih itu sebaik mungkin dalam usaha melahirkan warga negara Malayasia sebagai warga yang terbilang di dunia dari segala aspek keilmuan. Lantaran itu, untuk memiliki kehebatan tersebut, pelajaran mestilah diutamakan oleh setiap individu yang mendiami negara ini.

Bercakap di majlis penyampaian hadiah kepada dua orang pemanah cemerlang beliau menambah, tanpa ilmu pendidikan sesuatu perancangan pembangunan negara dan diri sendiri tidak akan tercapai.

Justeru itu beliau mahu setiap pelajar memanafaatkan apa yang telah Kerajaan sediakan untuk kemudahan pendidikan. Peruntukan Kerajaan bagi memajukan dunia pendidikan terlalu banyak dan rakyat rugi kalau tidak mengisi peluang yang disediakan itu.

Sempena dengan majlis itu juga beliau mengucapkan syabas kepada dua pemanah dari Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Mahmud Paduka Raja 2 iaitu Mohd Faiz Farhan Ab. Wahab dan Nurul Amalina Rosmay yang mewakili Malaysia ke kejohanan SEA ARCHERY CHAMPIONSHIP di Singapura.

Di dalam kejohanan tersebut mereka telah berjaya meraih satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa, menewaskan pemanah terbilang dari negara ASEAN lain termasuk Filipina, Singapura, Laos, Kemboja, Indonesia dan Thailand.